Wan Fayhsal minta hubungi mereka sebagai wakil rakyat sebelum hantar bantuan banjir

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak kerajaan sendiri untuk menghubungi mereka sebagai wakil rakyat sebelum bantuan disalurkan kepada mangsa banjir.

Beliau meminta supaya wakil rakyat kawasan terjejas banjir tidak dipinggirkan dalam mana-mana program bantuan kepada mangsa banjir.

Ini katanya bagi mengelakkan berlaku pembaziran seperti makanan yang akan terbuang begitu sahaja jika bantuan itu diberi terlalu banyak.

“Kalau ada mana-mana pihak kerajaan, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), NGO dan NGI (pertubuhan atau individu bukan kerajaan) yang membantu, saya syorkan tolong hubungi wakil rakyat yang berada di sana kerana kami lebih mengetahui apa yang berlaku.

“Kadang-kadang kita nak beri bantuan baguslah kerana kita nak mileage dan sebagainya. Tapi, kita bagi benda yang terlebih banyak macam makanan, membazir buang begitu sahaja.

“Jadi, saya minta mana-mana pihak termasuk kerajaan tolong hubungi kami. Kalau kami tidak libatkan secara langsung, saya fikir kita akan membazir banyak sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat, ” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Pada masa sama, Wan Fayshal juga merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peruntukan dana terus kepada mereka agar dapat mempercepatkan bantuan kepada rakyat.

“Kami menuntut jasa baik perdana menteri, tolonglah sampaikan bantuan peruntukan terus kepada ahli parlimen yang berdepan banjir teruk.

“Kalau kita tak beri bantuan kepada Ahli Parlimen mungkin perkara-perkara yang boleh diselesaikan dalam seminggu akan berlarutan sebulan kerana karenah birokrasi,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Rafizi akan dedah sesuatu sampai ADUN Pas di Kedah tersipu malu

Â