Azmi Ali disebut-sebut bakal Presiden Majlis Peguam
Datuk Azmi Mohd Ali disebut-sebut bakal dipilih sebagai Presiden baru Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) selepas menang tiga kali berturut-turut dalam pemilihannya kelmarin.
Dalam pemilihan kelmarin, Azmi, Presiden Persatuan Alumni Universiti Malaya mendapat undi tertinggi dalam pemilihan itu dan menjadi satu-satunya calon yang mendapat lebih tiga ribu undi.
Beliau mendapat 3,036 undi berbanding pemenang kedua Gregory Vinesh Das yang mendapat 2779 undi dari 16 calon yang menang.
Azmi merupakan rakan kongsi kanan yang juga Pengerusi Eksekutif firma guaman Azmi & Associates, salah sebuah firma guaman yang terbesar di Malaysia.
Dalam pemilihan semalam, peguam dari Kuala Terengganu, Datuk Fariz Irwan Mustafa mencipta sejarah tersendiri apabila turut tersenarai dalam 16 peguam yang terpilih untuk memimpin Majlis Peguam untuk sessi 2025 – 2026.
Fariz, anak kepada tokoh politik Pas Datuk Mustafa Ali, dikatakan peguam yang pertama dari negeri-negeri pantai timur yang menang dalam pemilihan Majlis Peguam kerana di Terengganu hanya ada kira-kira 100 peguam sahaja yang aktif, manakala Kelantan pula hanya 200 orang.
Anggota Majlis Peguam yang paling ramai datangnya dari Kuala Lumpur dan Selangor.
16 pemimpin Majlis Peguam yang terpilih ini dijangka akan mengadakan mesyuarat Mac 2025 untuk menetapkan barisan kepimpinannya untuk sessi kali ini.
Â