Banjir surut menjelang luruan monsun 8 Disember, mangsa pun menyusut kepada 43,745 pagi ini
Keadaan banjir yang surut menjelang luruan monsun 8 Disember ini menyaksikan jumlah mangsa terus menyusut kepada 43,745 orang setakat jam 7.06 pagi tadi, berbanding 59,815 pada 8 malam.
Di Kelantan, mangsa banjir di enam jajahan pada masa ini berjumlah 43,745 orang di 96 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 13,999 keluarga.
Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 22,441 orang diikuti Tumpat (20,556), Kota Bharu (403), Bachok (243), Tanah Merah (55) dan Pasir Puteh dengan 47 orang.
Menerusi infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya tetapi dalam trend menurun.
Sehingga jam 6.45 pagi tadi, Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras 9.69 meter berbanding 9.94 meter lewat malam tadi manakala Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat di paras 3.73 meter ketimbang 3.82 meter malam tadi.
Keadaan banjir juga semakin pulih di Terengganu dengan 14,543 mangsa daripada 3,736 keluarga di tujuh daerah berlindung di 63 PPS pagi ini berbanding 15,767 orang di 59 PPS malam tadi.
Daerah Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu sebanyak 5,764 orang melibatkan 1,526 keluarga yang berada di 15 PPS berbanding 6,404 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi.
Ia disusuli Dungun mencatatkan 4,757 mangsa (1,159 keluarga) yang berlindung di 20 PPS, Kuala Terengganu (3,196 mangsa daripada 856 keluarga di 12 PPS) dan Hulu Terengganu (480 mangsa daripada 122 keluarga di 8 PPS).
Tiga daerah lagi merekodkan jumlah kurang 100 mangsa iaitu Marang (186 orang daripada 43 keluarga di 3 PPS), Setiu (158 orang daripada 28 keluarga di 4 PPS) dan dua mangsa daripada dua keluarga di Kemaman.
Di Kedah, sebanyak 6,165 mangsa membabitkan 1,968 keluarga berada di 32 PPS melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Padang Terap.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor kekal 1,068 orang daripada 305 keluarga melibatkan daerah di utara negeri itu, Segamat dan Tangkak.
Di Perak, 383 mangsa banjir daripada 127 keluarga direkodkan di 10 PPS melibatkan lima daerah iaitu Kinta, Hilir Perak, Kampar, Perak serta daerah Larut, Matang dan Selama.
Mangsa banjir juga dicatatkan di Melaka dengan 172 orang daripada 44 keluarga masih berada di dua PPS di Jasin.
Dua daerah di Pahang iaitu Bera dan Temerloh pula menyaksikan 53 orang daripada 11 keluarga berlindung di 4 PPS.