Duti eksais minuman bergula 40 sen seliter, tapi subsidi pengilang gula RM500 hingga RM600 juta setahun?
Senator Dr A Lingeshwaran menyambut baik kenaikan duti eksais bagi minuman bergula sebanyak 40 sen seliter memandangkan hasil tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan kesihatan.
Walau bagaimanapun, wakil dari negeri Pulau Pinang itu turut memperingatkan kerajaan bahawa insentif subsidi kepada pengilang gula jauh lebih banyak berbanding kutipan duti eksais yang akan dikutip.
“Saya menyokong usaha kerajaan untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Januari 2025. Hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam termasuk penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibitors bagi rawatan diabetes.
“Ini merupakan julung-julung kalinya kerajaan melaksanakan inisiatif memulangkan hasil duti eksais ke atas bahan makanan kurang sihat kepada sektor kesihatan secara khususnya.”
Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2025 untuk Kementerian Kesihatan.
Kenaikan duti eksais untuk minuman bergula dibuat selaras dengan kempen perang terhadap gula oleh Kementerian Kesihatan.
“Bayaran insentif masih dibayar kepada pengilang gula, sebanyak RM500 hingga RM600 juta setahun. Sebaliknya, kenaikan duti eksais bagi minuman bergula itu mungkin akan mengutip sekitar RM400 juta, jauh lebih rendah daripada kos subsidi gula.
“Bolehkah kerajaan mengurangkan subsidi kepada pengilang gula secara berperingkat dan penjimatan itu disalurkan semula ke Kementerian Kesihatan Malaysia?”
Beliau turut berpandangan peningkatan duri eksais bersifat menghukum dan lebih menggemari pendekatan untuk memberi insentif kepada rakyat yang memilih gaya hidup sihat.
“Saya menyeru agar pengilang makanan, pengusaha restoran atau gerai makanan untuk menawarkan harga yang lebih murah untuk makanan atau minuman yang kurang gula atau tanpa gula.”
Isu pekerja syif malam perlu kerja 45 jam
Turut dibangkitkan adalah isu waktu bekerja 45 jam bagi kakitangan yang bekerja secara syif di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Adalah tidak adil dari segi waktu bekerja sebenar bagi pekerja syif kerana waktu bekerja sebenar untuk yang bekerja waktu pejabat adalah selama 38 jam setengah (dengan mengambil kira waktu rehat panjang untuk hari Jumaat).
“Kini, pekerja syif perlu bekerja sehingga sekurang-kurangnya 40 jam seminggu dengan masa rehat satu jam pada setiap syif.
Beliau turut mengemukakan kajian saintifik yang menunjukkan risiko kesihatan terhadap pekerja syif adalah lebih tinggi berbanding dengan kakitangan yang bekerja pada waktu pejabat.
Lingeshwaran juga menjemput Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, timbalannya, Ketua Setiausaha KKM dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk bekerja syif malam.
“Jika hujah saya di atas masih lagi tidak mencukupi, saya merayu, menjemput Menteri Kesihatan, Timbalan Menteri Kesihatan, Ketua Setiausaha KKM dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan semua yang terlibat dalam menghasilkan ceraian tersebut untuk bersama-sama saya, bekerja satu syif malam di wad perubatan, mana-mana hospital di Pulau Pinang. Satu syif malam sahaja!
“Selepas syif malam tersebut, kalau masih bertenaga dan berselera saya akan belanja semua makan Nasi Kandar Line Clear original.”
BACA JUGA: A nine percent increase for MOH, focus on the Health White Paper
Â