Kertas Putih Kesihatan bakal menjadi gajah putih?
Seorang senator mendakwa Kertas Putih Kesihatan (HWP) bakal menjadi gajah putih kerana tiada perkembangan pelaksanaan sejak diluluskan tahun lalu.
Lebih parah lagi, peruntukan Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2025 meningkat tetapi tidak mematuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut dinyatakan dalam HWP.
“WHO menetapkan peruntukan kesihatan perlu bersamaan lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar. Jika kita mengambil kira jumlah peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tahun 2025 sebagai peratusan kepada KDNK negara, ia adalah hanya sekitar dua peratus.
“Angka ini sebenarnya lebih rendah berbanding tahun ini, iaitu 2.2 peratus dari KDNK negara.
“Kita masih lagi sangat jauh dari sasaran 5 peratus KDNK negara seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk negara berpendapatan sederhana tinggi dan digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan,” hujah Senator Dr A Lingeshwaran ketika membahaskan peruntukan Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2025
Peruntukan Kementerian Kesihatan untuk tahun 2025 mengalami peningkatan sebanyak 9.9 peratus dari RM41.2 billion kepada RM45.3 billion.
Tekad kerajaan untuk merealisasikan syor di dalam HWP turut dipersoal.
“Adakah kerajaan masih serius untuk memastikan Pembiayaan Kesihatan yang Mampan dan Saksama untuk negara kita? Kenapa kita memperuntukkan jumlah yang lebih rendah dari segi peratusan kepada KDNK negara berbanding dengan tahun 2024?
“Secara jujurnya, saya tidak melihat sebarang perkembangan dari segi pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan,” Lingeshwaran berkata.
“Minta maaf Datuk Yang Dipertua, kalau keadaan ini berterusan, saya berani menyatakan di sini bahawa Kertas Putih Kesihatan bakal menjadi Kertas Gajah Putih Kesihatan!”