Pas, Bersatu berangan-angan sebelum menang
Oleh FATHI ARIS OMAR
Pas dan Bersatu tidak perlulah bertekak secara terbuka, parti mana hendak pegang jawatan apa.
Katakanlah pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, pastilah Pas yang kukuh akar umbinya menang lebih banyak kerusi berbanding Bersatu.
Jadi, jawatan PM dan MB seharusnya diserahkan kepada Pas, sementara timbalan dan exco kanan dipegang Bersatu.
Kalau ditanya kepada saya, calon terbaik PM daripada Pas, bukan Bersatu. Kalau tidak DS Tuan Ibrahim Tuan Man, boleh pula jawatan itu diserahkan kepada DS Dr Samsuri Mokhtar.
Tuan Ibrahim kurang menonjol ketokohannya ketika berada dalam Kabinet. Berbanding naib presiden Pas Dr Sam, timbalan presiden Pas juga kurang menonjol dalam strategi politik dan idea.
TS Abdul Hadi Awang tidak kelihatan berminat dengan jawatan tersebut; lagi pun tokoh ulama itu uzur. Beliau boleh menjadi penasihat PM jika Pas pegang jawatan tersebut.
Di mana dua lagi naib presiden Pas? DS Sanusi Md Noor boleh terus memimpin Kedah. Walau beliau popular dalam kalangan penyokong, Dr Sam dianggap lebih berwibawa daripada Sanusi atau orang lama Datuk Idris Ahmad.
Lagipun, TS Muhyiddin Yassin pernah menyebut Dr Sam, pemimpin paling dipercayai presiden Pas, mempunyai keperibadian dan kelayakan meneraju negara.
Timbalannya pula seelok-eloknya Bersatu, misalnya DS Azmin Ali, kini setiausaha agung PN dan Bersatu. Kedua-dua pemimpin kanan ini pernah mengetuai jawatan menteri besar dan menteri kanan.
Ketua pembangkang sekarang DS Hamzah Zainuddin (timbalan presiden Bersatu) boleh kuasai Perak. Tidak sesuai dalam Kabinet jika Azmin sudah jadi timbalan PM.
Tuan Ibrahim pula boleh memimpin Pahang, sementara MB di Selangor boleh diserahkan kepada Pas atau Bersatu.
Pas ada Dr Yunus Hairi (bekas exco negeri dan pesuruhjaya) untuk mengetuai Selangor, kalaulah pengundi sudah bosan pada PH.
Atas sifatnya sebagai tokoh nasional, Azmin tidak sesuai disudutkan di Selangor. Jadi, elok masuk Kabinet Persekutuan seperti sebelum ini.
Dahulu, beliau sudah diangkat menteri kanan paling terkanan. Atau, de facto TPM kepada DS Ismail Sabri Yaakob.
Bersatu di Selangor masih ada Hilman Idham (ketua Armada) untuk ketuai negeri sebagai kuota rundingan dengan Pas. Rasanya dengan Pas, Bersatu kena berunding dan banyak bersabar juga.
Namun, PN di Selangor masih ada beberapa tokoh lain yang layak diketengah, misalnya Datuk Dr Ab Halim Tamuri (pesuruhjaya Pas) atau Dr Afif Bahardin (ahli MPT Bersatu).
Selangor ada prestij tersendiri yang tidak ada pada Perak, Pahang atau Negeri Sembilan.
Jadi, jika PM diberi kepada Pas, MB Selangor seelok-eloknya diserah kepada Bersatu.
Muhyiddin sudah satu penggal menerajui negara. Selain kurang sihat, beliau dianggap kurang mesra dengan istana, khususnya reaksi pada Agong sebelum ini.
Jadi, eloklah PN memperkenal tokoh baharu yang lebih dinamik dan meyakinkan, sekali gus menamatkan rantaian generasi lama.
Jika susunan saya ini kemudiannya gagal atau lemah, bolehlah difikir barisan pemimpin lain.
Lebih baik berubah dan bertekak ketika berkuasa daripada berangan-angan sebelum menang!
*Artikel ini merupakan hantaran penulis yang dikongsi di Facebook beliau.
Â