Boleh mulakan siasatan jenayah ke atas Mahathir, syor RCI Batu Puteh

Siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad, menurut syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Itu antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Prosiding diusulkan itu selepas Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Laporan akhir yang dinyahklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

RCI itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,”

menurut suruhanjaya berkenaan.

Dalam konteks Seksyen 415(b), menurut laporan itu, apa yang perlu ditunjukkan adalah Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan tersebut dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

Laporan ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya dipengerusikan Md Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara, menyatakan jika Jemaah Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Jemaah Menteri berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan itu.

“Dalam hal ini, Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya,” katanya.

Selain itu, Suruhanjaya berkata, siasatan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan boleh dibuat atas fakta yang Mahathir menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi untuk menyebabkan kerugian salah (‘wrongful loss’) kepada kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab terhadap negara dan hendaklah pada setiap masa memelihara, melindungi serta mempertahankan kepentingan dan kedaulatannya.

“Dengan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu, Mahathir menyebabkan kerugian salah kepada kerajaan Malaysia,” menurut laporan setebal 217 muka surat itu.

Pada 12 Jun lalu, Mahathir memberi keterangan kira-kira dua jam kepada RCI terbabit dan pada sidang media kemudian, menafikan membuat keputusan sendirian dalam kes membabitkan tuntutan Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangannya.

Katanya, keputusan berkenaan sebaliknya diputuskan Kabinet pada 2018 dan pihaknya hanya memberi pandangan supaya tuntutan itu tidak diteruskan kerana pakar undang-undang dan peguam ketika itu berpendapat ia kes yang lemah dan Malaysia tiada ‘peluru’ untuk menang.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, April lalu dilapor berkata, Perdana Menteri pada 2018 yang membuat keputusan ‘sembunyi-sembunyi’ adalah individu bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di ICJ.

Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika menjawat Perdana Menteri pada 2022 pula mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir sehingga Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008.

BACA JUGA Selepas Wan Fayhsal, giliran MP Pendang pula digantung dari Parlimen

Â