Bukti bukan ‘Malaya’ rompak hasil Sabah, bekas Pengarah JANS rupanya 11 tahun sorok duit lebih RM45 juta

Kes pengubahan wang haram pada 2016 dengan rampasan lebih RM45 juta wang tunai daripada bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib bukti bukan ‘Malaya’ yang merompak hasil kekayaan negeri itu.

Wang tunai sebanyak RM23.69 juta dijumpai di pejabat Ag Mohd Tahir, 62, di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Kota Kinabalu.

Turut dijumpai RM8.56 juta di rumah tertuduh serta isterinya, Fauziah Piut, 59, manakala RM9.19 juta ditemukan di dalam kereta jenis Mazda dan RM4.13 juta dalam kereta jenis Mercedes.

Pelbagai mata wang asing ditemukan dan disita termasuk dolar Amerika Syarikat (AS), pound sterling, euro, dirham Emiriah Arab Bersatu, baht Thailand, yuan China, dolar Hong Kong, yen Jepun, dong Vietnam, won Korea, riyal Arab Saudi, dolar Singapura dan rupiah Indonesia.

Tidak cukup dengan itu, Ag Mohd Tahir yang berkhidmat di JANS sejak 1991 juga rupanya mempunyai wang sebanyak RM4.15 juta dalam akaun bank yang kemudiannya turut disita.

Segala perincian pemilikan dan cara wang tunai tersebut disembunyikan adalah berdasarkan keterangan saksi yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan.

“Sepanjang perbicaraan kes ini, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan penemuan wang tunai yang begitu banyak di beberapa tempat, mahkamah berpuas hati pendakwaan membuktikan bahawa OKT1 (Ag Mohd Tahir) menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah di JANS.

“(Ag Mohd Tahir) telah terlibat dalam aktiviti haram iaitu rasuah melalui skim kutipan berpusat yang bermula sejak tahun 2005 hingga tahun 2016,” kata Hakim Abu Bakar Manat.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan Ag Mohd Tahir, Fauziah dan bekas Timbalan Pengarah JANS Lim Lam Beng, 70, membela diri atas pertuduhan pengubahan wang haram setelah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ag Mohd Tahir berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Dia dan isterinya turut didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama atas dua pertuduhan manakala Fauziah dan Lim masing-masing turut berdepan 19 serta empat pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama.

Menurut Hakim Abu Bakar, berdasarkan keterangan saksi, adalah jelas skim kutipan berpusat itu tidak dapat dijalankan tanpa pengetahuan, arahan, kelulusan dan pembabitan Ag Mohd Tahir.

Beliau berkata semasa siasatan, tertuduh gagal memberikan penjelasan mengenai sumber wang yang dijumpai dan disita itu.

“Begitu juga dengan pembelian kereta dan jam tangan mewah yang kesemuanya dalam milikan OKT1 ketika serbuan dibuat,” jelasnya, dipetik Bernama.

Lebih 1,000 barang kemas, beg tangan

Dalam masa sama, Fauziah pula memiliki lebih RM2.22 juta wang dalam akaun bank peribadinya selain 921 barang kemas pelbagai jenis dan 93 beg tangan berjenama mewah.

Hakim Abu Bakar berkata, jumlah keseluruhan pertuduhan terhadap Fauziah adalah melebihi RM6 juta.

“Persoalannya, dari mana sumber pendapatan atau hasil yang diperoleh OKT2 untuk memiliki semua harta terbabit dan beliau dalam siasatan juga gagal menjelaskan sumber wang tersebut diperoleh,” ujarnya.

Hakim berkenaan berkata berdasarkan penemuan tersebut, keterangan saksi, dokumen dan keterangan berdasarkan persekitaran, mahkamah berpuas hati atas imbangan kebarangkalian bahawa tertuduh itu, melalui suaminya, terbabit memiliki hasil daripada aktiviti haram.

Beliau berkata, walaupun Fauziah tidak terbabit dalam skim kutipan berpusat itu tetapi perbuatan tertuduh memiliki hasil daripada aktiviti haram adalah terjumlah dalam kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) akta terbabit.

Mahkamah menetapkan 26 hingga 28 Februari dan 28 hingga 30 April tahun depan untuk tertuduh membela diri.

BACA JUGA Dulu dibuang kerja, kini peserta IPR INSAN ini mampu raih RM8,000 sebulan

Â