Vivy Yusof, suami tak mengaku pecah amanah RM8 juta dana pelaburan Khazanah, PNB
Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan RM8 juta.
Kedua-dua pasangan itu yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) didakwa telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut enam tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.
Maple Sdn Bhd merupakan syarikat yang mengendalikan jenama tudung mewah Duck.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Public Bank di Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018, atas kapasiti sebagai pengarah FashionValet
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dan memerintahkan mereka melaporkan diri di pejabat SPRM di Kuala Lumpur sebulan sekali.
Mereka juga diminta menyerahkan pasport sehingga kes itu selesai.
BACA JUGA Dulu dibuang kerja, kini peserta IPR INSAN ini mampu raih RM8,000 sebulan