Kenyataan adendum: Dr Zaliha nafi keluarkan

Dr Zaliha Mustafa hari ini menafikan satu kenyataan media berhubung adendum penahanan rumah dikeluarkan pihaknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata, kenyataan itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan olehnya.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan media kononnya Dr Zaliha Mustafa mengesahkan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan Titah Adendum Diraja yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Sebelum ini, pada 3 Julai, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Najib kini merayu keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

BACA JUGA Ini senarai 26 kes pemimpin, penyokong PAS kalah saman FITNAH wajib anda tahu

Â