Universiti awam digesa beri ruang kepada pemain industri untuk teroka bidang baru

Universiti awam terutamanya di utara Semenanjung perlu memberi ruang secukupnya bagi membolehkan pemain industri bekerjasama untuk meneroka bidang baru berkaitan dengan industry teknologi tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menekankan kepentingan sinergi di antara universiti, pemain industri dan sektor swasta dalam membangunkan industri semikonduktor dan ekosistem berkaitan, selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat semikonduktor di rantau ini.

Anwar berkata sinergi ini diperlukan kerana negara memerlukan sejumlah jurutera yang berkelayakan di dalam industri teknologi tinggi termasuk industri rekabentuk litar bersepadu.

“Universiti mesti memberikan ruang secukupnya untuk industri masuk. Kita boleh membuat penyesuaian mengikut waktu tertentu tetapi kaedah terbaik ialah mendidik, melatih, meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula supaya ada sinergi dan kerjasama di antara industri dan institusi pengajian tinggi.

“Ia adalah sangat penting bagi memastikan misi pendidikan memastikan perkara ini berlaku pada kadar yang pantas dan bersedia untuk diselaras,” kata beliau ketika melancarkan Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas.

Â