Haram ke ambil bantuan banjir tapi rumah tak kena banjir? Ini jawapan UAI

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus tampil menjelaskan hukum seseorang memohon bantuan banjir walhal rumahnya tidak terjejas akibat banjir.

Dalam satu perkongsian video di TikTok, Ustaz Azhar berkata perkara ini perlu dilihat berhati-hati dengan meneliti syarat-syarat ditetapkan kerajaan.

Ia termasuklah sama ada bantuan itu untuk mereka yang berada di dalam kawasan banjir tidak kira mengalami kerugian atau tidak, atau untuk mereka yang mengalami kerugian sahaja.

“Bila kerajaan berikan sumbangan untuk mangsa banjir, tengok apakah syarat mangsa banjir di situ. Kalau syaratnya, dia adalah mangsa banjir tidak kira sama ada rumah rosak atau tidak rosak, asal duduk dalam kawasan banjir boleh terima.

“Tapi kalau termanya mensyaratkan seseorang itu mengalami kerugian, maka yang mengalami kerugian sahaja yang boleh ambil bantuan.

“Kena hati-hati bantuan itu dia khususkan untuk siapa. Sebab banyak kes kita berlaku makan haram ialah orang tak layak juga meminta,” katanya.

Pendakwah itu juga menasihatkan agar semua pihak berhati-hati ketika memohon bantuan termasuklah jika kerosakan dan kerugian dialami itu hanya sedikit atau minimum.

Kata Ustaz Azhar, jika seseorang itu berkemampuan adalah lebih baik untuknya membaiki sendiri kerosakan menggunakan wangnya sendiri supaya duit bantuan dapat diberikan kepada mereka yang betul-betul susah kerana terjejas dengan banjir.

“Hati-hatilah jangan mintalah. Kalau kita rosak sikit-sikit pun kalau boleh jangan mintalah.

“Biarlah (rumah) kita rosak teruk, dan kita tak mampu (baru minta bantuan). Dan kalau rosak banyak pun tapi kita orang berkemampuan, tak payah minta jugalah

“Kita buat sendiri. Allah beri kita lebih. Itu yang terbaik. Takut-takut jadi manusia yang meminta minta bantuan hanya kerana nak dapat banyak je, harta dia banyak dah,” Jelasnya lagi.

Kata Ustaz Azhar, perbuatan meminta-minta bantuan dalam keadaan seseorang itu sudah pun banyak harta, ibarat meminta bara api neraka jahannam pada hari kiamat nanti.

BACA JUGA Ini senarai 26 kes pemimpin, penyokong PAS kalah saman FITNAH wajib anda tahu

Â