Pro Ikhwanul Muslimin jatuhkan regim selepas berusaha lebih 50 tahun di Syria

Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman berkata, kumpulan pro Ikhwanul Muslimin berjaya menjatuhkan regim Bashar al-Assad di Syria dalam masa 10 hari gerakan.

Namun begitu, katanya, usaha ini telah digerakkan sejak 50 tahun lalu oleh kumpulan Islam Sunni ini.

Beliau mengakui agak terkejut dan tidak menyangka rejim paling zalim selama ini telah berakhir selepas Damsyik kini jatuh di tangan pasukan penentang kerajaan itu.

“Ketika berlaku kebangkitan pertama pada 1982 iaitu ketika berlaku pengeboman ke atas Aleppo, dan apabila berlakunya kebangkitan Ikhwan Muslimin yang pada waktu itu menentang Al-Assad kerana memperkenalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan Islam, saya berada di Tehhran pada waktu itu dan melihat bagaimana reaksi Tehran dan dunia terhadap kebangkitan Ikhwanul Muslimin pada 1982.

“Ini adalah kebangkitan yang berlanjutan selama hampir 52 tahun dan sudah tentu, selepas 52 tahun ia berakhir pada hari ini.

“Tidak banyak pergerakan yang berlaku sebelum 10 hari yang lalu tapi dalam tempoh tak sampai 10 hari jatuhnya satu regim yang sudah berkuasa dan berkubu begitu lama, sudah tentu ia mengejutkan banyak pihak termasuk saya,” katanya menurut video disiarkan Astro Awani.

Pada 29 Nov, kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (dahulunya dikenali sebagai Nusra Front, yang diharamkan di Rusia) bersama beberapa kumpulan bersenjata lain melancarkan operasi besar-besaran terhadap kerajaan Syria, bergerak dari utara wilayah barat laut Idlib ke arah bandar Aleppo dan Hama.

Sehari kemudian, Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria berada di bawah kawalan penuh buat kali pertama sejak konflik bermula pada 2011.

Hari ini pemerintahan al-Assad dilaporkan berakhir susulan serangan oleh pasukan penentang yang berjaya merampas Damsyik, menurut seorang pegawai tentera Syria yang dimaklumkan tentang perkembangan itu kepada Reuters.

Pejuang Syria mengumumkan di televisyen negara pada 8 Disember bahawa mereka telah menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, serta menamatkan pemerintahan kuku besi 50 tahun keluarga Assad, melalui kemaraan pantas mereka yang mengejutkan dunia.

BACA JUGA Lori air Selangor dihantar ke Kelantan dipancitkan penduduk ketika hulur bantuan

Â