Jahidah terlantar macam mayat hidup, keluarga bersyukur tertuduh dipenjara 10 tahun

Keluarga Jahidah Nordin, wanita yang sebelum ini dipukul bekas suaminya sehingga koma, kini terlantar seperti mayat hidup.

Adik Jahidah iaitu Fauziah berkata demikian ketika memberi kenyataan di akhir pembelaan kes dan mengatakan dia serta keluarga tidak akan dapat maafkan perlakuan tertuduh terhadap kakaknya.

Katanya, impak dari keganasan dilakukan tertuduh, dia perlu menggalas tanggungjawab menguruskan keperluan harian kakaknya termasuk memandikannya, selain pelbagai urusan peribadi membabitkan dokumen pengenalan diri selain urusan kewangan mangsa.

Fauziah turut menguruskan anak tunggal kakaknya, Eshan Nufail, 3, yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU), susulan perkembangannya yang perlahan dan perlu dipantau pakar.

“Sejak hari pertama kakak terlantar di hospital, saya yang menjaganya sehingga hari ini. Dia tidak boleh bercakap, tidak boleh bergerak dan tidak memberi sebarang respons. Begitulah keadaan dia sejak tiga tahun lalu,” katanya di hadapan Hakim Fatimah Zahari, menurut Harian Metro.

Terdahulu Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas suami Jahidah selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah kepada wanita itu.

Sementara itu sambil menangis teresak-esak, Fauziah berkata, perkembangan anak Jahidah lambat walaupun dia sudah berusia tiga tahun.

“Sekarang baru boleh berjalan tetapi masih tidak boleh bercakap. Saya dan keluarga tak dapat maafkan perbuatan tertuduh terhadap kakak saya,” katanya.

Fauziah berkata, Jahidah yang juga kakak sulung daripada tujuh beradik terpaksa bergantung kepada susu khas sebagai satu-satunya makanan, yang perlu diberikan setiap empat jam sekali selain diganti lampin pakai buang.

BACA JUGA Pakej nikah Thailand ‘kahwin dulu bayar nanti’, apa kata menteri agama?

Â