NADMA dah hantar mesej banjir esok, METMalaysia ramal hujan lebat hingga 11 Disember
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengirimkan SMS kepada penduduk sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang mengenai kemungkinan gelombang kedua banjir.
“Banjir dijangka di Pasir Mas mulai 10 Disember 2024, 12:00 tengah malam hingga 13 Disember 2024, 12:00 tengah malam.
“Layari portal bencana NADMA untuk info lanjut,” demikian petikan SMS daripada pihak NADMA.
Setakat 8.30 pagi tadi, terdapat 32 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) bertempat di Sek Keb Gual To’Deh, menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebelum ini, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, memaklumkan bahawa pihaknya kekal berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 8 hingga 14 Disember ini.
Menurutnya, persiapan telah dilakukan terlebih awal dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada di Pantai Timur hingga 11 Disember ini.
Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling) serta Perak iaitu Hulu Perak.
Turut diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada hingga 11 Disember ini adalah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.
BACA JUGA Lori air Selangor dihantar ke Kelantan dipancitkan penduduk ketika hulur bantuan