Pakej nikah Thailand ‘kahwin dulu bayar nanti’, apa kata menteri agama?
Pakej perkahwinan di Thailand yang menawarkan ‘nikah dahulu, bayar kemudian’ khusus untuk rakyat Malaysia yang ingin menikah di negara seberang, mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mana tidaknya, agensi didakwa sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu menawarkan harga sebanyak RM1,699 di mana pasangan yang mahu bernikah tidak perlu membayar wang pendahuluan.
Susulan itu Mohd Na’im ketika bercakap kepada media berkata, individu yang menggunakan khidmat tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Keluarga Islam.
Menurut beliau, kaedah mempromosi perkhidmatan perkahwinan dengan cara sedemikian tidak betul kerana ia seolah-olah mengajak rakyat Malaysia untuk menentang undang-undang.
“Di Malaysia ada peraturan untuk mereka yang ingin berkahwin atau pun poligami. Peraturan ini diwujudkan untuk menjaga maslahah (kebaikan) masing-masing.
“Tetapi cara itu tidak betul kerana ia mengajak rakyat di negara ini menentang peraturan dan undang-undang,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah pihaknya bimbang sekiranya promosi itu adalah cubaan untuk memperdaya (scam) orang ramai.
Terdahulu menerusi pakej nikah dahulu bayar kemudian, pelanggan dibenarkan membuat pembayaran selepas urusan pernikahan yang didakwa diadakan di Pejabat Majlis Agama Islam di wilayah Selatan Thailand itu selesai.
Ia sekaligus menarik perhatian ramai yang seakan mengalu-alukan promosi tersebut.
BACA JUGA Sultan Ibrahim, Perdana Menteri ceria santap asam pedas bersama