Skandal rasuah: 8 ADUN Sabah dirakam percakapan, apa jadi selepas ini?
Seramai lapan ADUN Sabah dirakam percakapan berhubung dakwaan skandal rasuah yang didedahkan seorang ahli perniagaan baru-baru ini.
Mereka antara 15 individu yang dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabtu minggu lepas.
Pemberi maklumat yang mendedahkan video rasuah tersebut turut dipanggil untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemberi maklumat masih tidak mahu menyerahkan apa-apa bukti kerana menuntut perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan.
Mengulas mengenai tindakan SPRM yang masih belum memberi perlindungan, Azam berkata, agensi berkenaan tidak dapat memberi jaminan selagi individu tersebut tidak mahu menyerahkan bukti yang dimilikinya.
“Kesemua individu berkenaan telah selesai direkodkan keterangan pada Sabtu lalu.
“SPRM juga telah menerima laporan terhadap pemberi maklumat itu yang didakwa bersekongkol dengan seorang pegawai dari Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu penerokaan mineral.
“Oleh itu, ketika ini kami sedang menyiasat dua kes secara adil dan profesional,” katanya kepada media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang individu yang juga peguam telah bertemu dengan pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu berkaitan video tular dakwaan skandal rasuah.
Peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat yang memperdengarkan beberapa orang sedang berbincang tentang sejumlah wang ketika pertemuan tersebut.
BACA JUGA Sultan Ibrahim, Perdana Menteri ceria santap asam pedas bersama