Anwar yang persembahkan permohonan pengampunan Najib kepada Agong
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau lah pihak yang telah mempersembahkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk didengar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Anwar berkata, beliau berpegang teguh bahawa setiap individu termasuk pesalah banduan berhak membuat permohonan, apatah lagi kedudukan Najib sebagai bekas Perdana Menteri adalah munasabah untuk diberi pertimbangan.
“(Soal permohonan pengampunan) Najib tidak termasuk dalam agenda Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“Jadi untuk rekod, saya persembah kepada Tuanku atas alasan semua rakyat dan banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan.
“Jadi ketika itu ada 11 agenda. 10 agenda dikemukakan oleh bahagian Hal Ehwal Undang-undang ikut proses biasa. Mengenai agenda 11, Yang di-Pertuan Agong ketika itu pengerusikan mesyuarat, minta saya kemukakan hujah tentang rayuan pengampunan Datuk Seri Najib.
“Ini saya nak jelaskan kerana saya tahu kes ini sedang dimainkan pihak tertentu. Isu ini ada rekod dan sudah diminitkan,” katanya di Dewan Rakyat pagi tadi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ini adalah satu-satunya peristiwa di mana permohonan pengampunan itu dibawa olehnya yang bukan berada di bahagian hal ehwal undang-undang.
Bagaimanapun beliau menegaskan, mesyuarat yang berlangsung pada 8 Disember 2023 itu langsung tidak membangkitkan soal Titah Adendum untuk Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Malah katanya, soal adendum tidak termasuk dalam agenda Yang di-Pertuan Agong waktu itu.
“Pada masa itu dalam mesyuarat yang saya hadir tidak langsung berbangkit isu kandungan adendum,” katanya lagi.
BACA JUGA Pembangkang teruk kena dengan PM gara-gara nak jadi ‘champion’ Najib
Â