Kes rasuah projek RM250 juta di Sarawak: Seorang lagi ‘Datuk’ ditahan
Siasatan kes rasuah projek pembinaan bernilai kira-kira RM250 juta di Sarawak menyaksikan seorang lagi ‘Datuk’ ditahan reman.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman selama lima hari sehingga 15 Disember ini.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan suspek direman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.
Lapor BH memetik sumber, suspek adalah rakan kongsi kepada pengarah syarikat itu juga bergelar ‘Datuk’ yang ditahan SPRM pada 5 November lalu.
Mereka disyaki berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek pembinaan dikeluarkan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sebuah daerah di Sarawak.
Menurut sumber itu, mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta.
“Susulan itu, suspek ditahan sekitar kira-kira jam 6.30 petang semalam di sebuah daerah negeri Sarawak” kata sumber itu lagi, dipetik BH.
Setakat ini, SPRM telah menahan tiga suspek termasuk seorang jurutera awam berusia 45 tahun yang disyaki terbabit dalam kes tersebut.
Â