Khairul Aming akui otak dah tak stabil selepas kena ‘bakteria banjir’

Walaupun sedang ditahan di hospital, Khairul Aming secara berseloroh mengakui otaknya sudah tidak stabil gara-gara penangan apa yang disebutnya sebagai kena ‘bakteria banjir’.

Menerusi siaran langsung di TikTok, personaliti media sosial yang juga dermawan itu dianggap pengikutnya sudah ‘rosak’.

“Sumpah aku dah sewel lepas kena bakteria (banjir) ni.

“Lepas kena bakteria banjir ni, otak aku dah tak stabil dah. Minta maaflah ye.

“Dulu aku buat live ada juga buat benda-benda ilmiah,” katanya dalam sedutan live di TikTok.

Usahawan yang tersohor dengan produk Sambal Nyet itu juga sempat lagi berjenaka konon bayinya sedang menangis selepas beliau “beranak dalam air”.

Baby menangis. Baby tak dapat susu. (Jururawat) Tengah masukkan susu baby. Baby tengah dahaga,” katanya diselang seli ketawa sambil memberi respon terhadap komentar demi komentar penonton menerusi siaran langsung di TikTok.

Terdahulu, gempar apabila Khairul Aming dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas pulang daripada Misi Bantuan Orang Baik di Kelantan baru-baru ini.

Anak jati Kelantan berkenaan atau nama penuhnya Khairul Amin Kamaruzaman, sebelum ini telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Walau bagaimanapun, keadaan pemuda berusia 32 tahun yang terkenal dengan video masakan kreatif itu memerlukan rawatan lanjut di hospital selepas simptom yang dialaminya berlarutan.

Rata-rata peminat terus mendoakan agar Khairul Aming (KA) segera sembuh dan pulih sepenuhnya.

“Sakit-sakit pun sempat lagi melawak. Apa-apa pun semoga KA diberi kesihatan yang baik dan KA kena cukup rehat juga. Semoga dipermudahkan segalanya. Aamiin,” demikian antara komentar warga maya.

Untuk rekod, antara penyakit berjangkit yang sering berlaku ketika banjir adalah leptospirosis, melioidosis dan demam kepialu.

Individu di kawasan banjir boleh dijangkiti leptospirosis yang merupakan penyakit disebabkan bakteria yang ada dalam air kencing tikus jika terdedah kepada air yang tercemar.

Penyakit melioidosis pula akibat kuman dalam tanah yang terdedah akibat banjir yang boleh masuk dalam tubuh melalui luka atau dengan meminum air yang tercemar.

Demam kepialu yang berpunca daripada pembuangan najis yang tidak terurus juga boleh berlaku ketika banjir dan boleh merebak melalui air tercemar.

BACA JUGA Dua sungai di Kelantan di tahap waspada, trend menaik tengah malam ini

Â