Keputusan tidak teruskan semakan kedaulatan Batu Puteh: Kami hanya dimaklumkan

Pimpinan Pakatan Harapan yang menganggotai barisan kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Mahathir bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dalam kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Ingin kami tegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Tun Dr Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan juga turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke.

Dr Wan Azizah merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita dan Pembangunan Keluarga manakala Mohamad memegang portfolio pertahanan dan Loke, pengangkutan.

Mereka bertiga menjelaskan keputusan tersebut hanyalah satu pemakluman kepada kabinet dan tidak dibincangkan.

Pemakluman

“Ingin kami tekankan di sini, ianya hanyalah “pemakluman” di bawah agenda “Hal-hal lain” dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.

“Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir.”

Kenyataan hari ini dibuat ekoran cubaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba memalitkan kegagalan tidak meneruskan semakan ke atas anggota kabinetnya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan adalah keputusan solo Mahathir.

Suruhanjaya tersebut juga turut mengesyorkan agar Mahathir didakwa atas kesalahan jenayah ekoran kegagalan meneruskan semakan.

BACA JUGA: Apa jadi kepada siasatan ke atas 115 SD Muhyiddin?

Â