Tertubuhnya ‘AI Office’ di Malaysia cipta sejarah baru
Hari ini satu lagi sejarah tercipta selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya meluncurkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur.
Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, pejabat AI ini sebagai bukti kesungguhan kerajaan memperkasa transformasi digital yang mampu memacu ke arah masa depan dunia berpaksikan ekonomi digital.
Beliau berkata, Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) yang dilancarkan menekankan prinsip-prinsip asas seperti kebebasan, ketelusan, keadilan, dan inklusiviti dalam pembangunan dan penggunaan AI.
“Sektor digital adalah kekuatan ekonomi dunia, justeru perlu ada kesungguhan penting untuk meningkatkan sektor digital negara ke landasan yang betul.
“Natijahnya, pemerdayaan untuk mengangkat keupayaan kita sebagai negara berpendapatan tinggi perlu didorong oleh sektor digital dan kerana itu, Malaysia adalah antara negara terawal mewujudkan Kementerian Digital,” katanya.
Anwar berkata, beliau percaya kewujudan AI Office akan meningkatkan keupayaan untuk bersaing namun ia perlu seiring dengan pemupukan nilai ihsan, jati diri, etika, kemanusian, kefahaman agama, budaya dan hormat menghormati supaya tadbir urus yang lebih telus, adil dapat dilaksanakan dalam mendakap keseluruhan pelaksanaan AI ini.
Pejabat AI ini antara lain berfungsi membantu kerajaan merangka struktur polisi berkaitan sektor AI di negara ini.
Sebelum ini Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penubuhan NAIO berupaya meningkatkan keupayaan AI negara dengan memupuk inovasi, mempromosikan kerjasama merentas sektor serta menyokong integrasi AI ke dalam rangka kerja kerajaan, industri dan masyarakat.
Selain itu NAIO turut menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.
BACA JUGA Tiga bekas menteri PH 1.0 dedah penipuan Mahathir isu Batu Puteh