Desas-desus Tengku Zafrul sertai PKR, ini respon Pengerusi BN

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, sehingga kini Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak menemuinya lagi berhubung penyertaan dalam PKR.

Menurutnya, tiada makluman daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkenaan perkembangan terbabit.

“Setakat ini tidak ada permohonan daripada beliau (tinggalkan parti) dan beliau pun tidak bertemu dengan saya, jadi kita tidak dapat mengesahkan berita itu,” katanya, memetik BH.

Dalam masa sama, beliau yang juga Presiden UMNO mengingatkan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak harus mengambil ahli daripada parti komponen lain bagi mengelak perpecahan dalam gabungan itu.

Tegasnya, mana-mana parti komponen Kerajaan Perpaduan pun tidak mahu situasi seperti itu berlaku.

“Sebaik-baiknya parti komponen Kerajaan Perpaduan tidak harus mengambil mana-mana ahli-ahli parti lain dalam komponen itu.

“Kalau berlaku sebaliknya, mereka tentu akan terasa hati. Jadi, dalam keadaan begitu, eloklah kita menjaga perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) kali ke-4 di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, portal FMT melaporkan rundingan dikatakan giat dilakukan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

Laporan memetik sumber dalaman UMNO Selangor tersebut mendakwa, keputusan mengenai ahli UMNO Bahagian Kota Raja sejak Januari 2023 itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

BACA JUGA Tengku Zafrul sertai PKR, mari berfikiran positif, kata Pengarah Komunikasi Umno

Â