Ini rupanya alasan SAPP keluar dari PN
Pendirian Perikatan Nasional (PN) yang ingin bertanding dalam pilihan raya Sabah yang akan datang bertentangan dengan pendirian dan dasar Parti Maju Sabah (SAPP).
Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, keputusan secara rasmi menarik diri daripada gabungan politik itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, ibu pejabat PN telah pun dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu.
“Selama ini SAPP menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya ditandingi oleh parti-parti tempatan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Teck Lee berkata, pendirian SAPP selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah.
“Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa pilihan raya bagi DUN Sabah kekal di bawah bidang kuasa parti-parti tempatan, bebas daripada campur tangan parti-parti yang berpusat di Semenanjung.
“Akan tetapi desakan PN untuk meletakkan calon daripada parti-parti Malaya (Semenanjung) dalam pilihan raya Sabah secara langsung sangat bertentangan dengan prinsip asas ini, sedangkan SAPP cadangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di 73 kerusi.
“Sebenarnya, salah satu usul utama yang telah kami kemukakan kepada Majlis Tertinggi GRS untuk dipertimbangkan ialah autonomi Sabah, iaitu GRS harus meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN,” katanya.
Teck Lee berkata, ia penting dalam menegakkan hak Sabah di bawah MA63 dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem persekutuan sejati.
BACA JUGA Pas-Bersatu dalam PN sedang retak menanti belah