Lindungi penyelamat nyawa, KKM rancang bentang RUU ‘Good Samaritan Law’
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Rang Undang-Undang (RUU) berkonsepkan ‘Good Samaritan Law’ bertujuan melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dalam situasi jantung terhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA).
Beliau berkata, akta itu juga bertujuan menyediakan perlindungan undang-undang kepada mereka yang bertindak menghulurkan bantuan atas dasar kepercayaan baik dalam usaha menyelamatkan nyawa orang awam.
Jelasnya, setakat ini akta berkaitan perkara itu belum diperkenalkan di negara ini dan Malaysia dilihat agak ke belakang berbanding negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan akta itu.
“Akta ‘Good Samaritan Law’ ini penting untuk kita gubal dalam tempoh Parlimen ke-15 ini dengan matlamat menjadikannya setaraf dengan amalan di negara-negara lain.
“Saya tidak dapat memberi jaminan bila, tetapi saya mahu ia dilaksanakan secepat mungkin.
“Kita ada tempoh tiga tahun lagi untuk memastikan ‘Good Samaritan Law’ ini menjadi kenyataan,” katanya selepas merasmikan program 1st Malaysia Community First Responder Conference di sebuah hotel di Persiaran Gurney, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Untuk rekod, akta ‘Good Samaritan’ ialah perlindungan undang-undang yang menggalakkan individu untuk membantu orang lain dalam situasi kecemasan tanpa rasa takut mengenai tindakan undang-undang sekiranya disaman kerana menyebabkan kecederaan yang tidak disengajakan semasa memberi bantuan.
BACA JUGA Pas-Bersatu dalam PN sedang retak menanti belah
Â