Mahathir guna Melayu pertahankan dirinya

Oleh NORMAN RADZUAN

Lucu, memalukan, memualkan dan begitu mudah Mahathir menggunakan pemimpin-pemimpin Melayu untuk ditunggangnya dan sekaligus membodohkan orang Melayu.

Tujuannya untuk apa? Strategi Mahathir dari dulu mudah sahaja kita baca, dia akan lakukan apa sahaja untuk melawan musuhnya dan menggunakan siapa sahaja untuk ditunggangnya.

Sanggup berpura-pura dengan Anwar, sanggup berpura-pura dengan Pas, sanggup berpura-pura dengan UMNO dan siapa sahaja asal dapat memenuhi nafsunya.

Sultan Selangor pernah memberitahu, Mahathir adalah seorang yang bahaya. Saya sangat bersetuju dan sejak era 60-an hingga 2024 (60 tahun lamanya) Mahathir cuba mencatur negara ini mengikut telunjuknya.

Mahathir ini licik dan sering menggunakan strategi ‘play victim’ untuk orang Melayu mudah simpati dengan dirinya, sedangkan kerosakan negara ini sangat teruk dilakukan olehnya.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut RCI, Mahathir telah membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan Kabinet dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.

Seperti kita maklum, Mahathir akan nafikan dan strategi jahatnya seperti biasa menyalahkan orang lain. Seperti sebelum ini, Mahathir menyalahkan Tun Musa Hitam dalam kes Memali dan Anwar dalam kes IMF.

Sebab itu, saya katakan politik negara selagi ada Mahathir, orang Melayu akan bergaduh sesama sendiri. Kerana Mahathir wujudnya S46, Keadilan, Bersatu dan Pejuang. Ingat Mahathir terkenal dengan strategi pecah dan perintah.

Mahathir sudah membuat onar sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Dalam sejarah Tunku telah membicarakan dendam kesumat Mahathir terhadapnya memuncak apabila mengalami kekalahan kepada calon Pas, Haji Yusof Rawa pada tahun 1969 semasa bertanding di Kota Setar.

Kemarahan Mahathir menjelma dengan sepucuk surat terbuka kepada Almarhum Tunku bertarikh 17 Jun 1969. Mahathir membidas Tunku dengan hebat kerana dia yakin Tunkulah yang menyebabkan karier politiknya berkecai.

Surat biadap ini kemudiannya disusuli dengan buku, “The Malay Dilema”. Dalam bab 2 buku ini bertajuk “Di Mana Silapnya?” Mahathir menghentam Almarhum Tunku habis-habisan.

Almarhum Tunku pernah melabel Mahathir sebagai seorang “ultra” (pelampau). Mahathir sememangnya melampau kerana tidak mempedulikan adab dan kesopanan budaya orang Melayu. Cara Mahathir membidas Tunku dapat digolongkan sebagai biadab.

Mahathir Mohamad

Ketika itu, Mahathir mempergunakan Pas apabila menggunakan platform parti itu untuk menyerang Tunku Abdul Rahman. Dulu lagi Mahathir telah menunjukkan perangai yang dia akan menunggang sesiapa sahaja untuk kepentingan dirinya.

Berbalik Perhimpunan Resolusi Persidangan Meja Bulat yang di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP). Sungguh lucu dan hebat bagaimana Mahathir menggunakan pemimpin-pemimpin Melayu untuk membela dirinya.

Sebelum itu, di Parlimen gegak gempita pemimpin Pas pertahankan Mahathir. Padahal, pada 28 Jun 2022, Pas sendiri meminta tindakan diambil kepada pengkhianat negara atas isu Batu Puteh.

Sedikit tentang Pas, saya hairan dengan parti ini. Kenapa mereka mempertikaikan ketelusan kerajaan untuk rakyat negara tahu isu siasatan RCI Batu Puteh? Bukankah setiap rakyat Malaysia perlu tahu kenapa ia terjadi.

Samalah kenapa Pas takut untuk pemimpin-pemimpin mengisytiharkan harta. Takut terbongkar pemimpin mereka harta berjuta? Jawapan Hadi mudah sahaja isytihar harta idea komunis.

Sedangkan sebelum itu Hadi jugalah yang mengatakan wajib isytihar harta dengan disertakan hadis sebagai dalilnya.

Begitu juga dengan Hassan Karim yang boleh kita anggap dia bukan sebahagian dari MP atau pemimpin kerajaan yang mahu menyelamatkan negara.

Hasan tidak waras lagi dan hanya berkepentingan peribadi. Mungkin kerana tidak diberi sebarang jawatan telah membuatkan dia semakin agresif menyerang kerajaannya sendiri. Bagi saya, Hasan Karim tak boleh pakai!

Sedangkan dahulu Hasan Karim sendiri menulis ‘Pada pandangan saya keputusan Perdana Menteri baru-baru ini ( Mahathir) menarik balik Rayuan tersebut adalah satu kesilapan besar.

Perbicaraan Rayuan kes tersebut perlu diteruskan kerana kini terdapat bukti-bukti baru (fresh evidences).

Saya berpandangan bahawa isu kedaulatan negara seperti dalam kes Pulau Batu Puteh tidak boleh dipandang ringan jauh sekali untuk dikompromi.’

Berbalik kepada cerita Mahathir, dia bijak mengalihkan isu dgn membuat perumpamaan Pulau Sipadan yang berjaya dimenangi Malaysia sebagai hak milik negara tidak dituntut oleh Indonesia.

Ia berbeza kerana tuntuan itu dibuat bersama dan telah dibawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Apabila menerima keputusan Indonesia akur tetapi dalam kes Batu Putih berbeza, Mahathir sendiri yang membuat keputusan untuk menarik pemohonan semakan.

Dalam maksud lain mengaku kalah sebelum bertanding. Apa yang ditulis Mahathir dalam surat Peguam Negara waktu menjadi PM 2018, “Setelah meneliti cadangan tafsiran keputusan Case Concerning the Sovercignty Fazal Over Pedra Branca, Middle Rock and South Ledge di Mahkamah Keadilan 27/5/8 Antarabangsa (ICI), saya berpendapat bahawa usaha ini tidak perlu diteruskan.”

Begitulah Mahathir sejak dahulu menunggang dan menyorok di belakang orang Melayu untuk membela dirinya. Seperti biasa slogan yang dibawa Mahathir ialah Melayu terancam. Bila semua dah ok dia gigit balik orang Melayu….Melayu pemalas!

Ingat dahulu, Mahathir panggil Kongres Maruah Melayu. Kita hairan kenapa dia panggil kongres tersebut sewaktu dia sendiri menjadi PM.

Rupa-rupanya nak hasut orang Melayu sebab dia mahu tinggalkan PH sebab dia mahu langgar persefahaman selepas 2 tahun akan diserahkan jawatan PM kepada Anwar.

Kali ini, Mahathir panggil pemimpin Melayu dengan harapan orang Melayu membela dirinya. Mahathir mengalihkan isu kononnya kuasa orang Melayu ke atas Tanah Melayu akan hilang jika sesuatu usaha tidak dilakukan dari sekarang untuk menghalangnya.

Cuma saya ingin bertanya kepada Mahathir apa yang dimaksudkan ‘Orang Melayu mempunyai musuh yang sama?’

Sungguh tidak bertanggungjawab hasutan Mahathir ini sedangkan Batu Puteh itu maruah negara hilang bukan kerana bangsa lain tetapi dari orang Melayu iaitu dirinya sendiri.

Ingat tuan-tuan ia bukan kerana soal Pulau Batu Puteh tetapi kesannya perairan negara. Malah, ia bahaya untuk keselamatan negara.

Kita tertanya-tanya kenapa Mahathir ambil keputusan sendiri menarik tuntutan tersebut secara sendirian? Yang lebih pelik kenapa Peguam Negara dipaksa cuti?

BACA JUGA Tengku Zafrul sertai PKR, mari berfikiran positif, kata Pengarah Komunikasi Umno