Tengku Zafrul: Keputusan berkenaan wadah politik belum dibuat

Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz mengakui ada perbincangan dibuat dengan PKR namun menambah bahawa beliau belum membuat keputusan mengenai wadah politiknya.

Turut ditekankan ialah tiada perbincangan mengenai jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.

“Dalam memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara seterusnya, seperti saya nyatakan, saya pernah ada berbincang dengan parti PKR.

“Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat Negeri mahu pun pilihanraya kecil dibincangkan.

“Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi.

“Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akaun media sosialnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perihal khabar angin bahawa beliau akan berhijrah dari Umno ke PKR.

Fokus kepada tugas yang diamanahkan

Tengku Zafrul yang ketika ini adalah seorang ahli MKT Umno, senator dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menambah fokusnya sekarang adalah melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Pada masa sama beliau turut mengulangi kenyataan bahawa Umno Selangor belum menyelesaikan masalah yang membelenggunya.

“Dalam melaksanakan tanggungjawab dan komitmen saya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan, wadah perjuangan politik saya tertumpu kepada keperluan melaksanakan tugasan dengan baik bagi manfaat rakyat.

“Saya juga percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.

“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor.

Terdahulu, Umno sudah menyatakan pendirian tidak akan membenarkan Zafrul melompat ke parti lain.

Â