Kos haji kekal RM33,000 tetapi bayaran bakal haji B40, M40 naik sedikit

Lembaga Tabung Haji (LTH) mengumumkan kos mengerjakan haji bagi tahun 2025 kekal pada kadar RM33,300 sebagaimana tahun lalu.

Pun begitu bayaran haji bagi tahun 2025 meningkat 20 peratus bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

Untuk kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan ibadah itu, ia naik kepada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024.

Manakala bakal haji kumpulan M40 pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada 2024.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media hari ini.

Bantuan Kewangan Haji

Kadar bantuan kewangan haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali tunaikan ibadah itu adalah sebanyak RM 18,300 manakala golongan M40 menerima RM 9,800.

Sementara itu, jemaah Muassasah kumpulan T20 dengan pendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan akan membayar penuh kos haji sebanyak RM33,300 seorang.

“Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.

“Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500,” katanya lagi.

BACA JUGA Bekas MB Kelantan pun pernah makan di restoran Cina tak halal…