Suri rumah raih RM16,000 sebulan jual sandwich dan kek di mesin layan diri
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada situasi seorang suri rumah yang juga peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Sakina Ali.
Sakina merupakan peserta IPR INSAN yang kini sudah lebih setahun berjualan menerusi mesin layan diri yang diberikan percuma oleh kerajaan.
Mesin yang terletak di Hospital Melaka itu membolehkan ibu kepada tiga anak ini meraih pendapatan ribuan ringgit.
Menerusi satu video dimuat naik Rafizi Ramli di Facebook, wanita itu pernah meraih jualan paling besar bulan lepas iaitu sekitar RM16,000 dengan hanya berbekalkan dua menu sahaja untuk dijual.
Pendapatan bulanan yang biasa diperolehnya adalah sekitar RM8,000 dengan untung bersih sekitar RM6,000 hingga RM7,000. Sakina menjual pelbagai jenis kek dan sandwich.
Menurut suri rumah itu, program yang diusahakan Kementerian Ekonomi ini telah memberi peluang kepadanya menaik taraf ekonomi keluarga lebih-lebih lagi dia dan suami tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Menu dia dua je, sandwich dan kek tapi boleh menjana sampai RM16,000 sebulan. Sejuk hati saya dengar yang suami Kak Salina ni pun sama-sama tolong.
“Dengar pula, dia baru bersalin, semoga mencurah lagi rezeki dengan cahaya mata yang baru.
“Sesiapa yang ada melawat kawan-kawan atau keluarga dekat Hospital Melaka tu, boleh cuba masakan Kak Sakina kita dekat Blok C. Dengar cerita Kek Chocolate Cheese Tornado dia paling laris,” kata Rafizi.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) atau ingin mendaftar sebagai peserta, boleh ke https://ipr.ekonomi.gov.my/sign_up
BACA JUGA Bekas MB Kelantan pun pernah makan di restoran Cina tak halal…
Â