Tidak usah ganggu kestabilan politik Selangor
Pakatan Harapan Selangor menyifatkan khabar angin seorang menteri Senator yang mahu ‘berhijrah’ menyertai PH Selangor dan mengetuai pentadbiran negeri mengundang keresahan dalam kalangan rakyat.
PH Selangor percaya, kemajuan negeri itu yang menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah hasil dari kestabilan politik dan Kepercayaan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Justeru kata gabungan itu, apa juga tindakan perlu melihat kepentingan negeri dan rakyat di dalam negeri Selangor ini dan tidak hanya dilihat di atas kepentingan peribadi atau kelompok tertentu sahaja.
“Titah Tuanku kepada Datuk Seri Amirudin Shari ketika menerima watikah lantikan sebagai Menteri Besar adalah Tuanku Sultan Selangor mahukan kerajaan ini kekal sehingga habis penggal.
“Ia menjelaskan betapa pentingnya kestabilan politik di negeri Selangor ini,” kata PH Selangor dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat bersama ADUN Seri Serdang yang juga Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi; dan dua orang Penolong Ketua Penerangannya iaitu Halimey Abu Bakar dan ADUN Seri Kembangan Wong Siew Ki
Dalam pada itu Pakatan Harapan Negeri Selangor menyarankan agar Amirudin untuk terus fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat dan membangunkan negeri ini.
Sebelum ini media melaporkan dakwaan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, serta dakwaan bahawa Tengku Zafrul akan menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.
Amirudin berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 sejak Jun 2018. Beliau juga naib presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan Selangor
BACA JUGA Kronologi kes Batu Puteh, bagaimana rakyat Malaysia dibohongi Mahathir