Anak muda dan B40 paling banyak berbelanja minuman manis, apa jadi selepas cukai gula dilaksana?
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan impak berikutan pengenaan cukai gula menunjukkan pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja, iaitu daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus.
Beliau berkata, golongan muda dan berpendapatan rendah B40 merupakan pengguna tertinggi dan paling banyak berbelanja untuk minuman manis telah menerima impak positif daripada pelaksanaan cukai tersebut.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, Dr Dzulkefly berkata, syarikat pengeluar minuman manis bergula telah mengubah formulasi produk kepada minuman kurang gula bagi mengelakkan membayar cukai terbabit.
Beliau menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding mengenai keberhasilan yang dicapai melalui pelaksanaan cukai gula oleh kerajaan dan sama ada ia dapat memberi kesan positif kepada impak kesihatan awam.
Menurutnya, sebanyak 242 produk minuman telah diformulasi semula kepada kurang gula untuk dijual di pasaran Malaysia di bawah Inisiatif Healthier Choice Logo (HCL) susulan pelaksanaan cukai terhadap minuman bergula.
Jelasnya, ia hasil Kajian Penilaian Impak dan Keberkesanan Pengenaan Cukai Terhadap Minuman Manis Bergula di Malaysia yang dijalankan pada 2022, dua tahun selepas pelaksanaan cukai itu pada 2019.
Dr Dzulkefly berkata hasil kajian yang dikeluarkan tahun ini turut mendapati pelaksanaan cukai sebanyak 40 sen seliter telah memberi sedikit kesan, iaitu hanya membabitkan 2.24 peratus kenaikan harga pasaran bagi minuman bergula berbanding 8.83 peratus jangkaan awal.
Tambahnya, hasil dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022: Tinjauan Kesihatan Remaja menunjukkan penurunan prevalen pengambilan minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari, iaitu daripada 36.9 peratus pada 2019 kepada 32.4 peratus pada 2022.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan impak lebih positif dan signifikan akan diperoleh khususnya dalam pengurangan pengambilan minuman bergula dalam kalangan masyarakat dengan pengenaan cukai kepada 90 sen per liter seperti yang diumumkan oleh kerajaan.
BACA JUGA Kenapa mesra China tetapi bukan dengan ‘Cina Malaysia’?