Malaysia terus dijangka kekal stabil, agensi penarafan antarabangsa ini sahkan
Fitch Ratings mengekalkan penarafan Ingkar Penerbit (IDR) Mata Wang Asing Jangka Panjang Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’ seperti rekod yang sama pada awal tahun lalu.
Menurut agensi penarafan antarabangsa itu, penarafan Malaysia disokong oleh pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh dan luas.
Ia juga didorong oleh pelaburan domestik dan asing yang teguh serta lebihan akaun semasa yang berterusan dengan asas eksport yang pelbagai.
Agensi yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, kekuatan Malaysia seimbang berbanding hutang awam yang tinggi.
Jelas organisasi penarafan statistik itu, asas hasil Malaysia juga adalah rendah berbanding dengan perbelanjaan semasa dan kecairan luaran yang lebih lemah berbanding negara setara.
“Keadaan pasaran buruh yang stabil dan peningkatan pendapatan daripada kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 dan Januari 2026 sepatutnya menyokong perbelanjaan isi rumah, dengan pertumbuhan disokong lagi oleh pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan pelaburan asing yang berkaitan dengan kepelbagaian rantaian bekalan,” kata Fitch Ratings dalam satu kenyataan.
Jangka agensi tu, momentum prestasi eksport Malaysia akan perlahan pada 2025 disebabkan oleh permintaan luar yang lebih lemah walaupun mendapat manfaat daripada kitaran teknologi global pada 2024.
Prospek pertumbuhan juga diramal menghadapi risiko menurun daripada peningkatan ketegangan geopolitik.
Turut dijangkakan, defisit fiskal kerajaan persekutuan menurun kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.
Keadaan itu, menurut Fitch Ratings didorong oleh rasionalisasi subsidi yang berterusan dan kenaikan cukai yang sederhana.
“Kami melihat ini sebagai laluan penyatuan fiskal yang boleh dipercayai dan beransur-ansur,” menurut Fitch Ratings lagi.
Belanjawan 2025 mengunjurkan defisit kerajaan persekutuan mengecil kepada 3.8 peratus daripada KDNK berbanding anggaran 4.3 peratus pada 2024.
“Kami menjangkakan hasil kerajaan persekutuan kekal stabil pada 2025 daripada anggaran 2024 kami sebanyak 16.5 peratus.
“Langkah belanjawan baharu, termasuk cukai ke atas pendapatan dividen individu serta perluasan cukai jualan dan perkhidmatan akan membawa hasil tambahan yang terhad, yang sebahagiannya akan diimbangi oleh hasil berkaitan petroleum yang lebih rendah,” katanya.
Fitch Ratings menjangkakan akaun semasa kekal dalam lebihan untuk jangka sederhana dan mencatatkan lebihan kecil sebanyak 1.4 peratus daripada KDNK pada 2024, disebabkan oleh bil import yang besar untuk barangan perantaraan dan pelaburan modal.
“Kepelbagaian eksport Malaysia dan sektor pembuatan yang kompetitif meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada peralihan dalam rantaian bekalan global.
“Pelaburan asing yang diluluskan meningkat sebanyak 18 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2024, menunjukkan pertambahan pelaburan asing untuk direalisasikan untuk 2025,” menurut kenyataan Fitch Ratings lagi.
BACA JUGA Pemimpin Pas tawar modal hanya sekali seumur hidup tapi untung besar
Â