Seruan Mahathir dan rakan-rakan semarakkan aktivis Sabah Sarawak nak tuntut merdeka

Seruan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) bersatu untuk melawan “musuh bersama” orang Melayu dilihat menyemarakkan sekumpulan aktivis Sabah dan Sarawak untuk “penentuan nasib sendiri”.

Kumpulan anti semangat Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada sembilan pertubuhan itu menerusi kenyataan bersama menegaskan bahawa telah tiba masa untuk Sabah dan Sarawak mempertimbangkan pilihan dengan serius.

“Kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia di bawah trajektori ketuanan Melayu dan ekstremisme perkauman kini tidak lagi wajar.

“Rakyat kita berhak mendapat lebih baik daripada terus dilayan sebagai rakyat kelas kedua dalam sebuah persekutuan yang sepatutnya menjadi rakan setara.

“Kita mesti meneroka kemungkinan penentuan nasib sendiri dan kemerdekaan, memastikan suara dan aspirasi suku kaum asal Borneo dan komuniti Cina didengar dan dihormati,” menurut kenyataan itu.

Reaksi melibatkan antaranya daripada Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo)
dan Sabah Sarawak Rights Australia New Zealand (SSRANZ) itu berpendapat kenyataan Mahathir dan PN menentang “musuh bersama” orang Melayu adalah sangat membimbangkan.

“Peralihan Malaysia ke arah ketuanan Melayu adalah ancaman langsung kepada keharmonian dan keadilan yang diimpikan dalam MA63.

“Jika kerajaan persekutuan terus mengabaikan kebimbangan sah Sabah dan Sarawak, jalan ke hadapan yang logik adalah menarik diri daripada Malaysia dan mendapatkan semula autonomi kita,” menurut kenyataan bersama termasuk Sarawak Association for Peoples Aspirations (SAPA) dan Persatuan Pembangunan Sosial Komuniti Sabah (BANGUN) itu lagi.

BACA JUGA Pertahan Mahathir isu Batu Puteh, Hadi sempat lagi sekeh DAP