Dakwaan wajibkan pegawai awam miliki BMI seimbang, ini penjelasan JPA

Tiada sebarang arahan atau kenyataan yang mewajibkan semua pegawai awam untuk memiliki indeks jisim badan (BMI) yang seimbang.

Itu penjelasan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) susulan kenyataan Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu berkaitan “JPA Wajibkan Semua Penjawat Awam Miliki BMI Sihat Mulai Tahun Depan” pada 7 Disember lalu.

“JPA menggalakkan semua pegawai awam untuk melaksanakan saringan kesihatan kendiri termasuk mengambil ukuran berat badan dan tinggi bagi melihat status BMI dan diisytiharkan dalam sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS),” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, Langkah tersebut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 mengenai Perisytiharan Rekod Kesihatan bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat pada 6 September 2022.

“JPA tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau arahan untuk mewajibkan semua pegawai awam memiliki BMI yang seimbang,” kata JPA.

Walau bagaimanapun, JPA berkata, pihaknya kekal komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menangani isu obesiti dalam kalangan pegawai awam dan menyokong langkah-langkah dalam meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Dalam masa sama, JPA turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang melibatkan mereka, perlu mendapatkan kebenaran rasmi, selain turut meminta agar jabatan itu tidak dijadikan rujukan tanpa pengesahan fakta.

BACA JUGA Kenapa mesra China tetapi bukan dengan ‘Cina Malaysia’?

Â