MAPIM sokong keputusan Aminuddin tiada sambutan Tahun Baru 2025

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa kerajaan negeri tidak akan mengadakan sambutan ambang tahun baharu 2025.

Keputusan kerajaan negeri diambil bagi menghormati mangsa banjir di negara ini termasuk selain mengelakkan pembaziran serta sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang berterusan ditindas Israel.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sewajarnya sambutan 2025 perlu diubah kepada majlis yang mengingatkan masyarakat untuk kembali kepada kemanusiaan dan keamanan

“Kami amat menyokong keputusan Datuk Seri Aminuddin memandangkan sifat ihsan perlu dizahirkan dalam keadaan seluruh dunia yang kini kritikal.

“Rakyat perlu dididik dengan keinsafan yang tinggi mengenai nilai kesyukuran dan belas kasihan dan saling menyokong untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan bantuan dan pembelaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau menyarankan acara hitung detik 2025 (count down) ditukar kepada pelancaran acara bertemakan “2025 Tahun Kemanusiaan dan Keamanan” iaitu sebuah ikrar nasional mengenai azam masyarakat untuk menghayati nilai kemanusiaan dan keamanan.

Katanya, suara Malaysia yang mengangkat keperihatinan isu kemanusiaan dan keamanan dunia perlu diketengahkan.

“Malaysia harus memimpin suara kemanusiaan yang lantang untuk menentang ketidakadilan dan kezaliman ke atas mereka yang lemah.

“Sistem dunia yang kelihatan rosak dan hipokrit mesti dihentikan dan anjakan besar dunia dengan merombak institusi dunia yang lebih berkesan untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaaan mesti diusahakan,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Fakta diberi MP Pasir Mas tentang industri halal Malaysia kelaut…

Â