Tok Mat akui silap merokok di restoran, sedia bayar kompaun

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya merokok di tempat larangan iaitu di dalam restoran.

Bercakap kepada pemberita, Mohamad memaklumkan beliau akan membayar kompaun yang bakal dikenakan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) terhadapnya.

“Pagi tadi saya telah menerima kedatangan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban kerana saya tidak balik ke Seremban.

“Saya minta mereka kalau boleh datang sebab esok saya akan ke Bangkok. Mereka datang dan saya menerima notis kompaun tersebut.

“Notis kompaun ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menetapkan kompaun itu berapa dan bila untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin hari ini.

Sejak semalam tular foto Mohamad yang didakwa sedang merokok di sebuah restoran bersama sekumpulan lelaki.

Perbuatan itu telah melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Susulan itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi platform media sosial X, memaklumkan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diberi kuasa untuk berjumpa dan menyerahkan notis kesalahan kepada Mohamad.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang.

Â