Malaysia boleh dilanda gempa bumi?
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip tidak menafikan bahawa Malaysia boleh dilanda gempa bumi yang kuat.
Ini kerana tiada teknologi yang mampu meramalkan gempa bumi di dunia.
“METMalaysia melalui pencerapan stesen seismik yang dipasang di seluruh negara mampu untuk mengesan kejadian gempa bumi dan memberikan maklumat daripada segi kekuatan, lokasi dan kedalaman gempa terbabit kepada orang ramai.
“Sabah mempunyai beberapa garis sesar aktif menyebabkan negeri ini lebih kerap mengalami gempa bumi dengan skala yang lemah kecuali satu skala yang kuat dengan magnitud 6.0 berlaku di Ranau pada 5 Jun 2015 lalu,” katanya, lapor BH.
Terbaharu, gempa bumi melanda Ranau dua hari berturut-turut.
Kelmarin, gempa bumi lemah bermagnitud 2.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Ranau pada 2.56 petang.
Semalam, gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 pada skala Richter juga dilaporkan berlaku di Ranau, pada 10.01 pagi.
METMalaysia sentiasa memantau dengan rapi aktiviti gempa bumi yang berlaku dalam negara melalui Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional (POCGN) di ibu pejabat, sepanjang masa.
“Kami akan memaklumkan sebarang kejadian gempa bumi kepada orang awam,” katanya.
Â