‘Nanti di Sanam UK boleh cerita air tengah banyak baru lepas banjir’, MB Terengganu jenuh kena perli
Laman X Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dihujani sindiran yang mengaitkan Menteri Besar Terengganu berkenaan dengan program dialog yang dijadualkan akan berlangsung di Sanam Sweethouse & Restaurant, Mancehester M14 5AW, United Kingdom.
Terdahulu, Samsuri menerusi ciapan di akaun X beliau yang mempunyai hampir 66,000 pengikut itu memaklumkan tentang projek paip melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan Pahang.
“Moga Projek Paip Agihan Air Kemaman ke Gebeng berjalan lancar sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan yang strategik,” katanya.
Rata-rata respon warganet yang ditinggalkan membidas kembali Naib Presiden Pas itu memandangkan bekalan air umum diketahui merupakan keperluan asas.
Oleh sebab itu, ada yang pesimis dengan kenyataan Samsuri yang mengaitkan projek paip agihan air dengan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi.
Dalam masa sama, pengguna X turut menempelak pemimpin Pas berkenaan yang sebelum ini tular posternya bakal terlibat dalam “Intelectual & Professional Dialogue” di sebuah restoran selera Pakistan di UK pada 22 Disember ini.
“Nanti di restoren Sanam UK bolehlah cerita kat orang Pakistan, korang datang buka restoran di Kemaman, kami sediakan air. Senanglah korang nak masak, cuci pinggan, cebuk berak ke. Datanglah melabur di koridor kami. Air tengah banyak ni, baru lepas banjir,” perli @JamTokMan.
Seorang pemilik akaun X pula menyindir, “Dengar-dengar jauh nak lepak kedai Paki… siap buat poster bagai. Alang-alang bolehlah sopim (shopping) time boxing day ‘kan.”
Berdasarkan poster yang tular di media sosial, calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional (PN) atau lebih khusus Pas itu dijadualkan akan berdialog dengan tajuk “SG4 and its potential for national socio-economic agendas”.
Walau bagaimanapun, kehadiran Samsuri di restoran Pakistan dekat UK itu mengundang pertikaian orang ramai memandangkan musim monsun timur laut dan risiko banjir di Terengganu masih belum berakhir.
BACA JUGA Tak perlu ‘terbang’ ke England hanya nak beri pandangan, ini 4 soalan kepada MB Terengganu