Warga asing monopoli perniagaan, JK Dewan Negara desak percepat akta Anti Ali Baba

Kerajaan digesa untuk mempercepatkan penggubalan Rang Undang-undang ‘Anti Ali Baba’ ekoran berlaku monopoli oleh warga asing terhadap perniagaan kecil dan sederhana yang memberi impak negatif kepada peluang ekonomi warga tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat (JKPK HESM), Majlis Dewan Negara, Senator Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, pihaknya telah memanggil beberapa saksi daripada beberapa agensi berkuasa berkaitan isu warga asing yang menguasai perniagaan.

Jawatankuasa itu juga telah menyertai operasi bersepadu ke atas aktiviti perniagaan warga asing di Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat dan input sebenar operasi yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Susulan itu Jawatankuasa mengemukakan empat syor untuk mengekang kegiatan ini termasuklah penggubalan undang-undang Anti Ali Baba.

“(JKPK HESM megesyorkan) kajian dan penyelarasan undang-undang sedia ada terutamanya kuasa untuk menyemak, menyiasat dan menangkap warga asing untuk diintegrasikan dan diturunkan kepada agensi-agensi penguat kuasa dalam negara dengan Jabatan Imigrisen Malaysia (JIM) menjadi agensi penguat kuasa penyelaras.

“Selain itu, penambahan peruntukan kewangan untuk sumber manusia, logistik dan teknologi terkini perlu diberikan kepada agensi atau jabatan yang menjalankan penguatkuasaan terhadap warga asing.

“Tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat perlu diberikan kepada majikan-majikan yang melepas tangan untuk menghantar pulang pekerja-pekerja warga asing mereka ke negara asal.

“Dan penggubalan Rang Undang-undang ‘Anti Ali Baba’ perlu dipercepatkan,” kata Mohd Hatta dalam sidang media hari ini.

Sementara itu Mohd Hatta berkata, melalui hasil prosiding dan lawatan kerja JKPK HESM sebelum ini, mereka mendapati PBT tiada kuasa untuk melaksanakan proses pembuktian dan mengenal pasti pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang lengkap.

Modus operandi warga asing juga semakin licik dan taktik mereka sering berubah menjadikannya lebih sukar untuk dikesan oleh penguat kuasa.

“Kekurangan tenaga kerja, kewangan dan logistik oleh agensi dan jabatan penguat kuasa untuk menjalankan operasi dan penguatkuasaan secara berkesan dan bersepadu; dan

“Perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara tetapi diserah, dipajak atau disewakan kepada warga asing (amalan Ali Baba) semakin berleluasa,” katanya lagi.

BACA JUGA Tak perlu ‘terbang’ ke England hanya nak beri pandangan, ini 4 soalan kepada MB Terengganu