Fahmi Fadzil tinggalkan emoji pada gambar Fahmi Reza

Sejak disiasat polis kerana satira politiknya, aktivis seni grafik Fahmi Reza melepaskan kekesalannya kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Dia mengubah nama penggunanya di platform X sebagai “Fahmi Fadzil”, manakala di Instagram pula aktivis itu mengubah gambar profile yang menggunakan logo SKMM.

Dia juga memuat naik satu gambar lama di Instagram yang pernah dimuat naik Fahmi Fadzil pada 2016.

Gambar itu memaparkan dirinya bersama Fahmi, dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Kapsyen gambar lapan tahun lalu itu menyebut, “Solidariti buat saudara Fahmi Reza yang baru ditangkap tadi di KLCC selepas tamat #Bersih5 . Nampaknya sang pemerintah masih gerun dengan grafik Fahmi”.

Ia juga meletakkan tanda pagar #BebasFahmi.

Apa yang menjadi perhatian, Fahmi Fadzil turut meninggalkan komen pada hantaran Instagram tersebut.

Beliau meninggalkan emoji jari ringkas yang memberi isyarat “cinta”.

Respon bersahaja menteri itu mendapat perhatian ramai dengan beberapa pengguna membalas “steady YB”.

Syahredzan Johan juga memuat naik respon ringkas di Facebook Story selepas gambar bersama itu dimuat naik.

Fahmi pada kelmarin disiasat kerana mencipta satira Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dengan label “koruptor no 1 Sabah”.

Dia disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Fahmi Fadzil berkata pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia tidak akan menjenayahkan kandungan satira.

Ini melainkan jika mereka melepasi batasan dan menjadi “sangat menyinggung perasaan”, sambil menambah bahawa pindaan akan menyediakan garis panduan yang jelas untuk penguatkuasaan dan tafsiran kehakiman.

BACA JUGA Polis sahkan kes rogol berlaku di PPS Kelantan semasa banjir