PM bagi ‘rating’ prestasi jemaah menteri
Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, prestasi jemaah menteri diakui berada pada tahap memuaskan.
Perdana Menteri berkata, beliau paling berpuas hati apabila kerajaan pimpinannya kini tidak lagi mengizinkan amalan lama seperti rundingan terus dan “curi komisen”.
“Tapi saya puas hati satu perkara, walaupun orang bangkit soal rasuah, kes ini, kes itu, yang penting sejak dua tahun ini saya tak izinkan amalan lama rundingan terus, curi komisen…itu saya hentikan,” kata beliau dalam sidang media hari ini, memetik laporan Bernama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi pencapaiannya kepada rakyat.
Pada masa sama Anwar berkata, walaupun ada beberapa pihak sudah tidak mahu lagi mendengar tentang isu tatakelola, namun beliau tidak boleh menafikan bahawa tatakelola baik adalah sangat penting.
“Orang tak mahu dengar isu tatakelola, tapi bagi saya ini masalah terbesar.
“Bagi saya tatatekola ini paling penting sebab kebocoran, rasuah, hilang dana puluh-puluh bilion bayar hutang yang tidak sepatutnya kita bayar,” katanya lagi seperti dilapor.
BACA JUGA ‘Saya tidak pernah tinggalkan perjuangan dan agenda reformasi’
Â