Sampai berpuluh ‘hooligans’ bertumbuk dan tendang pintu tren LRT, apa kata Hannah?
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan bahawa menang atau kalah adalah adat pertandingan.
Namun, katanya, tidak bermakna boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan kerosakan aset kerajaan dan harta benda awam.
“Jadi, kalau mereka lihat …ini aset Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) tak payah jaga, sangat mengarut.
“Saya berharap tak ada lagi perkara seperti ini akan berlaku,” tegasnya.
Hannah berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Liga Bolasepak Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Merdeka malam tadi.
Reaksi beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut itu susulan pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan pada jam 12.03 tengah malam, semalam.
Rusuhan ‘hooligans’ terbabit mengakibatkan bahagian pintu cermin tren rosak dan perkhidmatan LRT terhenti kira-kira lapan minit.
Mengulas lanjut rusuhan selepas perlawanan Malaysia bertemu Singapura pada saingan Piala Asean 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Hannah turut menyentuh tentang adab.
“Kemudahan Prasarana selalunya mereka panjangkan masa perkhidmatan untuk menyenangkan penyokong bola sepak, jadi kita kena balas dengan adab,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilapor berkata, insiden ganas tersebut melibatkan antara 20 hingga 30 orang.
Mereka bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah dan menendang pintu tren sehingga menyebabkan kerosakan.
Sehingga pagi ini, tiada tangkapan dibuat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
BACA JUGA ‘Risau bila dah tak ada kucing, dia buat pada haiwan lain atau manusia’