Beri sumbangan tanda reda dosa fitnah
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan adalah sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah.
Ahli Majlis Ulama Umno berkenaan berkata, dana sumbangan awam patut digunakan untuk aktiviti seperti kebajikan, membantu golongan yang dizalimi, dakwah dan Pendidikan.
Beliau berkata, dana sumbangan awam bukannya untuk membantu orang yang menzalimi maruah orang lain dengan fitnah dan cerita rekaan meskipun bukan Islam hatta musuh sekalipun.
“Dosa fitnah dan mereka-reka cerita adalah dosa besar yang dijadikan inti pati aku janji para sahabat dengan Nabi SAW sebelum hijrah.
“Memberi sumbangan untuk menampung kesalahan itu tidak berpahala bahkan tanda meredai perlakuan dosa fitnah,” ujarnya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan Khairuddin yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas itu dilihat susulan rayuan Pas memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai tuntutan sebanyak RM825,000 daripada tiga pemimpin DAP terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Walau bagaimanapun, rayuan ‘derma jihad’ seperti disebut dalam surat pekeliling kepada pemimpin utama Pas Pusat, negeri dan sayap parti tersebut hanya dihujani kecaman orang ramai.
BACA JUGA Pas buat rayuan ‘derma jihad’, tolonglah bantu MP Kepala Batas