Koc wanita di LRT laluan Ampang – Sri Petaling mulai 31 Disember
Koc wanita akan diperkenalkan di Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang / Sri Petaling mulai 31 Disember, umum pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, Rapid Rail Sdn Bhd.
Laluan tersebut akan menjadi laluan ketiga kendaliannya dengan kemudahan tersebut. Projek perintis dilaksanakan di Laluan Kajang pada 2023 dan Laluan Putrajaya pada 2024.
“Inisiatif ini bertujuan memberikan pengalaman perjalanan lebih selesa kepada penumpang wanita, yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengguna perkhidmatan rel Rapid KL,” kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan.
“Dengan adanya koc wanita, penumpang wanita dijangka dapat menikmati perjalanan lebih tenang tanpa rasa bimbang tentang keselamatan mereka.
“Sejak pengenalan koc wanita di Laluan Kajang, insiden gangguan tidak diingini telah menurun sebanyak 22 peratus sehingga November lalu, manakala Laluan Putrajaya menyaksikan penurunan kes dengan ketara sebanyak 50 peratus sejak pelaksanaannya pada April lalu.”
Sebanyak 36 stesen dan 45 tren LRT di Laluan Ampang/Sri Petaling akan dilengkapi pelekat khas berwarna merah jambu untuk memudahkan pengguna mengenal pasti koc wanita.
Katanya lagi, koc wanita akan ditempatkan di bahagian tengah setiap tren di koc tiga dan koc empat.
“Koc wanita ini terbuka kepada penumpang wanita dari semua peringkat umur, serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ke bawah yang ditemani penjaga wanita.
“Bagi komuniti Orang Kurang Upaya termasuk penjaga, mereka diberikan keutamaan untuk menggunakan mana-mana gerabak tren,” ujarnya.