‘Derma jihad’ disaran ‘transfer’ terus kepada pemimpin DAP, ini sebabnya

Penyokong Pas seacara sinis disaran ‘transfer’ terus kepada pemimpin DAP berkaitan jika ingin menyalurkan ‘derma jihad’ bagi menampung saman fitnah RM825,000 yang dihadapi Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.

TikTokers Wan Hadi berpendapat langkah sedemikian untuk memastikan sumbangan itu tidak disalahgunakan “masuk dalam akaun lebai”.

“Pergi jumpa Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, kata dengan dia nak nombor akaun untuk ‘transfer’ duit kat YB. Saya nak sedekah kepada DAP.

“Sama saja konsep dia, kalau kau transfer kat YB Mastura pun.

“Duit itu tetap akan pergi pada DAP juga, bayar saman pada DAP cumanya beza dia senang sajalah.

“Kalau kau transfer kepada Lim Kit Siang, duit itu terus kepada DAP.

“Kalau transfer pada YB Mastura, duit kau belum tentu dapat pada Mastura pun.

“Silap-silap duit itu separuh masuk dalam akaun lebai, separuh lagi masuk dalam akaun Mastura,” tempelaknya dalam reaksi beliau yang meraih lebih 3,900 pengguna TikTok setakat ini.

Dr Siti Mastura Muhammad

Kelmarin, pimpinan Pas dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan, Dewan-Dewan dan Cawangan diarah melancarkan ‘derma jihad’ dengan jumlah semaksimum mungkin.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu surat pekeliling berkata, kegagalan Mastura menyelesaikan tuntutan berjumlah RM825,000 kepada tiga pimpinan utama DAP boleh menyebabkan prosiding kebankrapan.

“… kesannya boleh menyebabkan Ahli Parlimen Kepala Batas hilang kelayakan dan kerusinya akan dikosongkan untuk suatu Pilihan Raya Kecil,” menurut surat yang tersebar di media sosial itu.

Pada 4 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.

Selain ganti rugi global kepada setiap pemimpin DAP itu, Mastura juga diperintah membayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif.

Hakim Quay memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Mastura yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) itu berunsur fitnah dan pembelaannya atas dasar komen adil, keistimewaan bersyarat, dan penyebaran tanpa niat jahat tidak dapat dibuktikan.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas di semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan tersebut.

“… memandangkan Mastura yang ‘didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap DAP’ itu melakukannya dalam keadaan yang berasas semasa menunaikan tanggungjawab terhadap parti dan perjuangan, iaitu dalam program kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman pada 4 November 2023,” katanya.

Walau bagaimanapun, desakan ‘derma jihad’ dengan kadar minimum bermula dari RM500 hingga RM20,000 mengikut peringkat pusat, negeri, kawasan, dewan dan cawangan itu hanya dihujani kecaman orang ramai.

Malah, Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan adalah sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah.

Ahli Majlis Ulama Umno berkenaan berkata, dana sumbangan awam patut digunakan untuk aktiviti seperti kebajikan, membantu golongan yang dizalimi, dakwah dan pendidikan.

Khairuddin yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas berkata, dana sumbangan awam bukannya untuk membantu orang yang menzalimi maruah orang lain dengan fitnah dan cerita rekaan meskipun bukan Islam hatta musuh sekalipun.

“Dosa fitnah dan mereka-reka cerita adalah dosa besar yang dijadikan inti pati aku janji para sahabat dengan Nabi SAW sebelum hijrah.

“Memberi sumbangan untuk menampung kesalahan itu tidak berpahala bahkan tanda meredai perlakuan dosa fitnah,” ujarnya menerusi menerusi hantaran Facebook semalam.

BACA JUGA Pas buat rayuan ‘derma jihad’, tolonglah bantu MP Kepala Batas