Nahas treler dan bas: Tujuh maut, 33 mangsa cedera berpunca tayar lori tercabut
Pihak berkuasa mengesahkan tujuh mangsa terkorban dalam kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.
Ia termasuklah seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang terkorban dalam nahas membabitkan buah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Menurut Ketua Polis Alor Gajah, Ashari Abu Samah, siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Aapabila tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya.
Bas persiaran yang kemudian tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa terbabas ke laluan bertentangan, bas berlanggar Perodua Bezza hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
“Bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga,” katanya memetik Harian Metro.
Ashari berkata, akibat kemalangan itu, pemandu bas dan seorang penumpang, serta pemandu dan empat penumpang Toyota Estima maut di tempat kejadian.
Mangsa maut ialah pemandunya, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; isterinya Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isterinya serta pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang belum dikenal pasti identiti.
BACA JUGA ‘Derma Jihad’ untuk Siti Mastura cubaan normalisasi fitnah?