Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam proses persediaan jawab saman Bersatu
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan pejabatnya sedang menyediakan jawapan yang diperlukan susulan permintaan Peguam Negara agar pejabatnya menyediakan segala yang diperlukan untuk menjawab saman pemula Bersatu yang difailkan pada 15 Nov.
“Pihak Peguam Negara telah pun meminta saya menyediakan bahan-bahan yang kini sedang dalam persediaan. Jadi kita sedang uruskan, penasihat-penasihat saya sedang menguruskan respons kepada apa yang kita perlu buat.
“Selepas ini kita tunggu dan lihat, mungkin mahkamah akan teruskan atau pun memanggil untuk pengurusan kes dan sebagainya,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Masjid Safuan, Jeniang, di sini hari ini.
Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja BERSATU, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua WHIP parti itu di Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku plaintif melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Selain Johari, BERSATU turut menamakan lima bekas Ahli Parlimen parti berkenaan, iaitu Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.
Bersatu memohon pengisytiharan yang dibuat Johari bahawa tiada lompatan berlaku itu sebagai menyalahi Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga memohon perisytiharan mahkamah berhak memperbetulkan mana-mana tafsiran salah oleh mana-mana pihak, termasuk tafsiran salah Johari atau mana-mana Speaker Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.
Antara alasan dikemukakan plaintif dalam saman pemula itu ialah bermula 12 Oktober tahun lalu, kelima-lima Ahli Parlimen berkenaan telah mengalihkan sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan, jelas melanggar ketetapan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong atau menyertai kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Plaintif berkata, perbuatan lima defendan itu walaupun mengakui masih menjadi ahli BERSATU, adalah perbuatan lompat parti dan mereka memanipulasi undang-undang antilompat parti dengan mengambil kesempatan tidak meninggalkan BERSATU walaupun tindakan mereka jelas melanggar dasar parti.
Â