PNB umum agihan pendapatan ASB 5.50 sen, bonus 0.25 sen
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dengan bonus sebanyak 0.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu kenyataan berkata, jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion itu akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Ia sekali gus menjadikan sebagai agihan dividen yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun yang lalu
“ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.
“Bilangan akaun ASB meningkat 2.4 peratus kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan bumiputera dalam perancangan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
“Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada tahun 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
“Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan Ringgit,” memetik kenyataan tersebut.
BACA JUGA Ramai pakat derma satu sen untuk ustazah Pas