Bimbang dua perhimpunan serentak di Menara Kinabalu 31 Disember, ini desakan UMNO Sabah
Dua perhimpunan anjuran kumpulan berlainan di di hadapan Menara Kinabalu yang menempatkan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada 31 Disember ini dibimbangi boleh mencetuskan insiden tidak diingini jika terjadi provokasi tidak terkawal.
UMNO Sabah pihak berkuasa perlu menilai implikasi keselamatan yang mungkin berlaku jika dua kumpulan terbabit dibiar mengadakan perhimpunan serentak di lokasi sama.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pihak polis perlu meneliti perkara tersebut secara mendalam serta mengambil langkah proaktif bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini.
“Saya ingin menegaskan sekiranya benar seperti yang dipaparkan dalam media sosial dan sidang akhbar bahawa terdapat dua perhimpunan atau berkaitan sedang dirancang berlangsung di kawasan dan masa sama pada 31 Disember ini di hadapan PPNS, perkara ini perlu diberikan perhatian serius walaupun ia dirancang sebagai perhimpunan aman.
“Situasi seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan yang berhimpun, sekali gus membuka ruang kepada provokasi melampau yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Saya memahami bahawa kedua-dua perhimpunan itu mempunyai matlamat masing-masing dan membawa mesej penting untuk rakyat, namun semua pihak harus menilai dari setiap aspek, termasuk implikasi terhadap keselamatan serta kestabilan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, dilaporkan Suara Mahasiswa UMS merancang untuk menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di hadapan Menara Kinabalu PPNS bermula jam 2 petang 31 Disember ini.
Serentak itu juga, Gerakan Bangkit Sabahan pula akan menganjurkan Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji.
BACA JUGA Pemimpin Pas ‘panas’ isu ‘derma jihad’, ramai kecam sanggup lindungi pemfitnah
Â