Ketika rakyat Indonesia lebih rasional, Pas pula seru belajarlah daripada Santa Claus
Pas menyeru agar buatlah cerita yang bermakna jika mahu mencipta cerita dengan mencontohi Santa Claus iaitu figura yang dikenali sebagai pembawa hadiah pada malam Krismas.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian dalam sindirannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya bahawa Presiden republik itu, Prabowo Subianto berada dalam keadaan sihat dan tidak demam.
Namun, reaksi Pas itu dilihat bercanggah dengan rata-rata pendapat rakyat Indonesia yang lebih rasional termasuk menyifatkan mustahil Anwar mendapat info yang salah mengenai status kesihatan Prabowo.
“Santa Claus, walaupun sekadar watak dongeng, dikenang kerana membawa kegembiraan dan inspirasi.
“Sebaliknya, naratif “Prabowo demam” ini tidak membawa apa-apa kecuali rasa malu kepada rakyat Malaysia.
“Sudah tiba masanya untuk pemimpin kita berhenti mereka-reka cerita dan mula membina kepercayaan rakyat dengan kejujuran, bukan imaginasi.
“Selamat cuti Krismas, Datuk Seri,” kata Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Perdana Menteri memberitahu bahawa Prabowo memohon pertemuan dengannya ditangguhkan untuk beberapa hari kerana demam.
Susulan itu, Anwar yang ketika itu sudah berada di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan Prabowo mendoakan Prabowo segera sembuh supaya dapat menyambung pertemuan tersebut.
Walau bagaimanapun, media Indonesia memetik kenyataan Teddy Indra melaporkan bahawa Presiden republik itu tidak demam sebaliknya mengadakan mesyuarat terhad sejurus tiba dari Sidang Kemuncak D8 di Kaherah, Mesir pagi 22 Disember.
Warganet Indonesia juga dilihat menyebelahi Anwar dan menyifatkan penafian dikeluarkan pihak Setiausaha Kabinet Indonesia itu dibimbangi menjejaskan hubungan diplomatik dengan Malaysia yang sudah terjalin baik selama ini.
Antaranya Mahyudin Jakaria yang berpendapat tidak perlu dinafikan sekiranya Prabowo keletihan atas siri urusan rasminya yang padat.
“Apa mungkin sekelas PM Malaysia Anwar Ibrahim dapat info asal bunyi?
“Jawabnya tentu tidak kerana itu dapat merosakkan hubungan kedua-dua pemimpin yang sudah terjalin baik selama ini, dan kalau pun Pak Prabowo sakit demam seperti yang dikatakan Anwar Ibrahim, ‘kan wajar mungkin beliau kelelahan/kecapekan kerana padatnya agenda presiden. Jadi, tak perlulah ditutup tutupi.
“Semoga Pak Prabowo selalu diberi kesihatan untuk bisa membawa negeri ini sejahtera rakyatnya,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Kutip derma selepas kena saman: Ini sebenarnya beza kes Lim Lip Eng dengan MP ustazah Pas